Tuesday, December 20, 2011

PENEMUAN PLANET KEPLER 22B




Teleskop Kepler Yang Meneroka Angkasa Lepas


Penemuan sebuah planet baru Kepler 22b oleh pihak NASA baru-baru ini telah memberi dimensi baru dalam penyelidikan tentang kehidupan di Angkasa Lepas.

Planet ini mempunyai banyak persamaan dengan bumi dimana suhunya sekitar 22 darjah celcius dan berada didalam zon yang boleh dihuni. Ia bersaiz 2.4 kali lebih besar berbanding bumi. Jaraknya dengan bumi ialah 600 tahun cahaya.

Selain suhu yang selesa, tanah dan air, Kepler 22b yang jaraknya dikatakan 15 peratus lebih dekat dengan bintang seakan matahari berbanding bumi. Kepler 22b turut mengelilingi "Bintang Matahari" itu dalam tempoh 290 hari setahun iaitu hampir menyamai 365 hari setahun di bumi.

Monday, December 12, 2011

FASA-FASA GERHANA BULAN PENUH


Set lengkap fasa-fasa Gerhana Bulan Penuh ini berjaya dirakamkan oleh sahabat saya Shahrin Ahmad (Shahazer) di Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan pada 10 Disember, 2011.

Peralatan yang beliau gunakan ialah
Kamera : Canon 500D
Teleskop : Skywatcher Equinox 80ED (Focal Length= 500 mm)
Mount : AstroTrac

Saturday, December 10, 2011

FENOMENA GERHANA - TANDA KEBESARAN ALLAH


Peristiwa gerhana merupakan satu fenomena, satu perubahan, satu kejadian, satu keagungan dan kebesaran Allah yang berlaku pada matahari dan bulan dimana kejadian ini adalah suatu perkara yang amat mudah bagi Allah Ta'ala melakukannya sesuai dengan firmanNya didalam surah Aali-Imran : ayat 190 bermaksud :

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, Kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal"

Mengenai kepercayaan karut terhadap gerhana ini, Rasulullah s.a.w telah menyangkalnya sebagaimana hadis berikut:

"Daripada Ibnu Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Sesungguhnya matahari dan bulan tidaklah mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak juga kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (mengalami gerhana)maka dirikanlah solat". - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab al-Jumu'ah, No. 1042

PROGRAM CERAPAN GERHANA BULAN PENUH


Tepat jam 7.00 malam 10 Disember, 2011, kelihatan orang ramai mula membanjiri Masjid Al-Muttaqin, Bandar Darulaman, Jitra Kedah bagi menunaikan Solat Maghrib berjamaah. Kehadiran pada malam itu dianggarkan mencecah 1,000 orang.

Selepas solat Maghrib, diadakan tazkirah oleh penceramah jemputan dari Kuala Lumpur. Selepas Solat Isyak, jemaah menunaikan solat sunat gerhana yang diimamkan oleh Tuan Syeikh Khudri.

Jabatan Mufti Negeri Kedah turut mengadakan cerapan dengan menyediakan 3 buah telescope dari jenama EQ5 dan Meada LX200 untuk digunakan oleh orang ramai melihat fenomena gerhana bulan penuh. Penggunaan telescope ini dibantu oleh 4 orang pegawai yang mempunyai kepakaran didalam mengendalikannya. Risalah bertajuk "FENOMENA GERHANA - Tanda Kebesaran Allah" turut diedarkan kepada orang ramai. Risalah ini menerangkan dengan lebih lanjut mengenai Gerhana Matahari dan Gerhana Bulan.

Selepas selesai solat sunat gerhana, orang ramai mula beratur di hadapan masjid untuk melihat sendiri gerhana bulan melalui telescope yang disediakan.Mereka sangat berpuashati kerana dapat melihat dengan jelas fenomena gerhana ini didalam keadaan cuaca yang sangat baik. Alhamdulillah.

Friday, December 9, 2011

Solat Sunat Gerhana Pada 10 Disember, 2011




Jabatan Mufti Negeri Kedah Darul Aman dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Muttaqin, Bandar Darulaman, Jitra Kedah akan mengadakan pelbagai aktiviti sempena Fenomena Gerhana Bulan Penuh pada 10 Disember, 2011 bertempat di Masjid Al-Muttaqin,Bandar Darulaman, Jitra, Kedah.

Pengisian aktiviti adalah:
Solat Sunat Gerhana
Cerapan Bulan dengan menggunakan Telescope EQ5 dan Meada
Tayangan Simulasi Gerhana Penuh Bulan.

Orang ramai dijemput hadir.
Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi Ustaz Sofiyuddin di talian 013-5293597

Fenomena Gerhana Bulan Penuh




Seluruh rakyat Malaysia akan dapat menyaksikan Gerhana Bulan Penuh pada 10 Disember, 2011. Gerhana ini adalah kali kedua berlaku dalam tahun 2011 dimana kali pertama telah berlaku pada bulan Jun, 2011 yang lalu.

Mengikut paparan takwim, pada petang sabtu 10 Disember, 2011, bulan terbit di ufuk timur Kuala Terengganu pada jam 6.44 petang, kira-kira 12 minit sebelum matahari terbenam.

Bulan yang beredar dengan had laju relatif 1,800 kilometer sejam akan mula memasuki zon bayang luar bumi pada kira-kira jam 7.30 malam. Bayang bumi akan mula menyentuh sisi sebelah kanan bulan tepat jam 8.46 malam menandakan permulaan Fasa Gerhana Bulan dan masa yang diambil oleh bayang gelap itu untuk menyapu keseluruhan muka bulan hanya 75 minit.

Selepas itu, bulan akan mengalami gerhana penuh selama kira-kira 48 minit. Pada pertengahan gerhana penuh itu dihitung berlaku pada jam 10.32 malam ketika bulan, bumi dan matahari berada dalam kedudukan satu garisan dan satu satah.

Jangkamasa bulan melewati kawasan bayang dalam bumi ialah selama 3 jam 22 minit sehingga gerhana berakhir pada jam 12.18 pagi.